Post Page Advertisement [Top]

Ini bukan isu agama dan bangsa, ini soal penyatuan ummah. Kita tidak mahu agenda ini ‘dicuri’ sesiapa yang akhirnya akan burukkan keadaan

.

UMNO-Pas hanya pilih penceramah faham agenda penyatuan ummah



SEREMBAN 5 Sept. - Hanya penceramah yang benar-benar memahami agenda penyatuan ummah akan dijemput menyampaikan ceramah yang dianjurkan oleh UMNO dan Pas di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelaras kedua-dua parti yang diadakan di sini hari ini.

Jelasnya, langkah itu bagi mengelak agenda penyatuan ummah disalah tafsir disebabkan segelintir penceramah yang ghairah menyentuh isu perkauman.


“Ini bukan isu agama dan bangsa, ini soal penyatuan ummah. Kita tidak mahu agenda ini ‘dicuri’ sesiapa yang akhirnya akan burukkan keadaan.

“Sebab itu saya nak tegaskan, penceramah yang akan dipanggil adalah mereka yang ada kemahiran, bukannya yang bercakap semborono menyentuh isu perkauman dan agama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati. Kena ada pemahaman dan bukan sekadar ceramah gelak ketawa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Penyelaras UMNO dan Pas peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jawatankuasa yang dianggotai kedua-dua parti akan meneliti penceramah yang dijemput namun tiada kriteria dan senarai penceramah ditetapkan.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai yang salah faham tentang penyatuan itu dengan beranggapan ia hanya untuk orang Islam dan sebab itu penting untuk ia diterangkan dengan jelas.

Dalam pada itu, ujarnya, susulan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras negeri yang dipengerusikan beliau dan Rafiei, semua bahagian, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen akan menubuhkan jawatankuasa pelaksana dipengerusikan ketua bahagian parti masing-masing.

“Mulai sekarang apa sahaja program dan kegiatan parti yang akan dilakukan berasas kepada penyatuan ummah dan akan diurus secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Rafiei berkata, usaha penyatuan ummah perlu dilihat secara positif terutama oleh kaum lain.

"Semoga apabila wujud perpaduan akan mudah wujud kerjasama dan persefahaman yang baik. Agenda penyatuan ummah akan bawa kebaikan kepada semua rakyat. Jangan rencatkan. Kaum lain kena pandang positif dan jangan lihatnya sebagai ancaman," katanya. - UTUSAN ONLINE
.
Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914

Bottom Ad [Post Page]

| Designed by Colorlib